Tuesday, March 2, 2010

Guru tidak boleh kenakan hukuman fizikal

0 comments
Petikan : Harian Metro
Tarikh : 2 Mac 2010

KUALA LUMPUR: “Tiada peraturan yang membolehkan guru mengenakan sebarang hukuman fizikal terhadap murid,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan SS 17 yang didakwa mencubit pipi dan lengan seorang murid Orang Kurang Upaya (OKU), Zulhilmi Hakim, 12, hingga meninggalkan kesan lebam.
Kejadian berkenaan disedari bapa mangsa, Ismail Humaidi Ahmat, 45, selepas menjemput anak kedua daripada tiga beradik itu dari sekolah, di Subang Jaya, jam 3 petang, Isnin lalu. Bagaimanapun katanya, hanya guru besar dan pengetua saja mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman fizikal terhadap murid seperti merotan tapi perlu mengikut peraturan tertentu.

“Walaupun mereka mempunyai kuasa berbuat demikian, ia haruslah mengikut kaedah disediakan semasa pelaksanaan hukuman seperti dengan dihadiri saksi, dalam keadaan tertutup dan melalui cara tertentu.

“Selain itu, dalam keadaan sekarang, sentuhan fizikal antara guru dan murid memang tidak dibenarkan sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak (guru dan murid terbabit) dan memaklumkan kepada guru besar sekolah itu supaya menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, jika laporan didapati tidak lengkap, saya akan meminta jemaah nazir sekolah menyediakannya. Perkara berkaitan anak-anak perlu dibincang antara kedua-dua pihak dan diharap ibu bapa tidak perlu bimbang kerana siasatan akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap guru berkenaan, Alimuddin berkata, keputusan hanya akan diketahui selepas siasatan terperinci dilaksanakan jawatan kuasa disiplin. Semalam, Harian Metro menyiarkan dakwaan murid OKU yang didera guru pendidikan Islam di sekolahnya hingga lebam di pipi dan kedua-dua lengannya. Zulhilmi yang menghidap ‘dyslexia’ turut mendakwa guru berkenaan akan mencubitnya apabila dia tidak dapat membaca dan ia berlaku sebelum cuti Tahun Baru Cina dan selepas sekolah dibuka selepas perayaan itu. Dia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri apabila ditanya kesan itu akhirnya mengakui kejadian berkenaan dilakukan ustaz di sekolahnya selepas dipujuk berulang kali oleh ibunya, Che Zaini Ahmad, 45.

Bagaimanapun, ketika ditanya guru yang dimaksudkan murid itu sehari selepas kejadian, dia menafikan perkara terbabit dan mendakwa Zulhilmi mungkin terjatuh ketika di rumah.

0 comments:

Post a Comment