Wednesday, March 24, 2010

Memperkukuhkan Aktiviti Sukan di Sekolah

0 comments

Memperkukuhkan aktiviti sukan di sekolah


1.         Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan potensi individu sepenuhnya, perlu dilihat dalam pelbagai perspektif. Sebagai langkah ke arah ini Kementerian Pelajaran akan memastikan supaya sukan di sekolah-sekolah dianjurkan dengan lebih meriah dengan penglibatan masyarakat setempat. Di antara strategi yang akan dilaksanakan dalam memenuhi hasrat ini ialah dengan melaksanakan dasar mewajibkan setiap pelajar menyertai sekurang-kurangnya satu sukan mulai tahun 2011.


2.         Dasar ini akan memastikan setiap pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan di sekolah masing-masing. Usaha ini pastinya akan meningkatkan penyertaan menyeluruh di kalangan pelajar sekolah yang berjumlah 5.4 juta di 10,000 buah sekolah di negara kita. Sehubungan itu, pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah diminta untuk membuat perancangan rapi berkaitan pembangunan sukan di sekolah-sekolah dengan menjadualkan program sukan sepanjang tahun supaya memberi peluang yang luas untuk setiap pelajar menyertai pelbagai jenis sukan di sekolah. 


3.         Bagi memastikan hasrat ini dicapai, Kementerian telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Sukan di Sekolah yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada wakil pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan di negara kita. Jawatankuasa ini, yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Pelajaran sendiri akan merancang, melaksana dan memantau program membangunkan sukan di sekolah ini. Beberapa strategi telah dikenal pasti untuk melaksanakan program ini. Perincian strategi ini akan dilakukan apabila data dan maklumat berkaitan diperolehi daripada sekolah-sekolah bagi menentukan supaya strategi yang dikenal pasti menepati sasaran yang dikehendaki.


4.         Semua pengetua, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri telah diarahkan supaya mengambil tindakan di atas pelaksanaan dasar ini sejajar dengan hasrat kita untuk melaksanakan Konsep 1Malaysia dan mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah.






Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Putrajaya, 22 Februari 2010

0 comments:

Post a Comment